pejam celik, pejam celik.. Ramadhan dah nak sampai ke penghujungnya.. banyak yang berlaku.
Aku ingat, di dua Ramadhan yang lepas, aku rasa hidupku terlalu kosong. Aku rasa aku dah pergi terlalu 'jauh', sampai aku tak nampak apa-apa sekalipun kat depan aku. kosong. kosong. kosong. (cam lagu Najwa Latiff tuh)
Di suatu hari, usai solat Asar, aku terjelepuk kat bilik solat opis. Aku menangis dan berdoa sesungguh-sungguhnya yang aku dah tak nak hidup macam tuh. Aku tau aku tak kuat sorang-sorang. Sampai hari ni aku masih ingat doa aku,
"Ya Allah, aku ini hamba-Mu yang sangatlah hina. Hanya merayu kepada-Mu bila aku betul-betul perlu. Dan kala ini, aku betul-betul perlukan bantuan-Mu. Aku dah tak mau hidup macam ni. Aku mahu keluar daripada jalan kotor ini, tapi aku tak cukup kuat, Ya Rahman Ya Rahim.. Aku pernah cuba keluar, tapi sebab kejahilan sendiri, aku patah balik Ya Allah. Aku hilang keyakinan pada kekuatan yang ada pada diri sendiri. Kalau Kau rasa aku dah tak layak dan tak mampu untuk menerima ujian-Mu, kau cabutlah nyawaku selagi masih ada sisa untuk berubah, Ya Allah. Tapi jika masih ada jalan yang lebih baik untukku, kau lapangkanlah jalanku. Kau kurniakanlah aku seorang Imam yang mampu membimbingku, berubah ke arah kebaikan bersama-sama hingga ke akhirat. Yang mampu aku hormati, dan mampu menjaga keluargaku. Hanya padamu aku berserah Ya Allah, kerana kau lebih mengerti keperluan diriku ini. Setelah kau kurniakan hidayah, janganlah kau palingkan lagi hati ini. Kau yang lebih mengerti, wahai Tuhanku..."
Dan setelah aku meletakkan sepenuh kepercayaan pada doa itu (berserta air mata yang tumpah macam empangan pecah), hati aku rasa sangat tenang. In a sense of, apa nak jadi pun jadilah. Aku berserah sepenuhnya pada kekuasaan Allah.
Percayalah, Allah itu Maha mendengar.
Allah knows best.
Syawal tahun itu, aku di ketemukan dengan Imam aku. Tiada cerita cinta antara kami. Serius.
Tak lama setelah dia menyatakan hasrat untuk memperisterikan aku, kami bertunang.
Kisah silam? Aku memilih untuk memberitahu.
Bodoh? Mungkin. Walau aku tak percaya pada diriku sendiri, aku percaya pada Tuhanku.
Allah knows best.
......................................................
Di Ramadhan yang lepas, Tuhan sekali lagi menguji niatku. Syaitan mendesak-desak aku dan mempersoal niat dan hajat aku daripada setiap sudut. Sekali lagi aku terduduk, tatkala di luarannya aku tampak sibuk dengan persiapan menuju ke gerbang perkahwinan.
Adakah dia betul imamku? Adakah betul aku makmumnya?
Adakah aku layak untuknya? Adakah dia layak untukku?
Tak kurang juga suara-suara yang mempersoal niatku untuk berubah....melalui seorang lelaki?? Ya Allah, kekadang manusia itu terlampau dangkal fikirannya. Kenapalah perlu dipersoal dan dipersalah seseorang yang ingin berubah. Manusia tidak sempurna. Takkan pernah sempurna.
Sampaikan di suatu tahap, aku sendiri membuka ruang dalam diri untuk menguji niatku. Allahuakbar! Jahilnya aku, ya Allah. Aku tutupkan telinga, butakan mata, tulikan hati. Aku kejarkan cinta dunia, sekali lagi. Mempersoal itu dan ini. Berperang dengan perasaan.
Akhirnya, terdetik di hatiku. Sampai bila?
Allah Knows best.
Ternyata, jodoh aku dan Imamku kuat. Berpaksikan niat kerana Allah. Masih tidak bercinta di saat inai dipasang di jari. Serius. Tapi, pabila kita letakkan Allah itu lebih daripada segala-galanya, yang lain akan datang sendiri. Tenang. sungguh tenang hidup aku selepas diijabkabul. Dia menerima aku seadanya aku. Dan siapalah aku untuk menolak seorang yang dijanjikan Tuhan untukku..yang akan menangung segala dosa dan pahala aku.
Aku jatuh cinta pada Imamku di saat dia meletakkan tangannya di atas ubun-ubunku sejurus selepas akad nikah kami dan melafazkan yang pada aku kata-kata cinta pertama dari Imamku. Meraung aku depan Tok Kadi.
“Apabila salah seorang dari kamu bernikah dengan seorang wanita, hendaklah dia memegang bahagian depan kepalanya (isteri) sambil menyebut nama Allah dan mendoakan keberkatan baginya dan hendaklah mengucapkan: ‘Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dari kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau tetapkan kepadanya, dan aku berlindung kepada-Mu dari kejahatannya dan kejahatan yang Engkau tetapkan padanya. Ya Allah berkatilah isteriku ini atasku dan lindungi dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya.’ “ (Riwayat Abu Daud).
Like I said, Allah knows best.
.............................................................................
Ramadhan ini, aku menantikan kelahiran cahayamata sulung kami. Bukan sekali, bukan dua kali, mati sentiasa berlegar-legar di kepala aku. Apatah lagi di saat aku hanya menghitung hari menunggu kelahiran kesayangan aku. 40 minggu aku rasakan terlalu lama.
Bulan lepas, aku dapat tahu yang kedudukan uri aku di bawah. Medical term-nya "Placenta Previa". Nak tahu lebih lanjut, google. Sedih, takut, risau, semua perasaan beraja di minda. Bergelen-gelen air mata yang tumpah. Sudahnya, aku redhakan. Aku serahkan segalanya pada Tuhanku. Doaku,
"Ya Allah, kalau aku mampu, kau permudahkanlah. Ya Allah, kalau aku mampu, kau permudahkanlah.Ya Allah, kalau aku mampu, kau permudahkanlah."
Mungkin ini caranya Allah sedang berbisik kepadaku. Setiap anugerah itu punya ujian.
Saat ini, aku positif. Segala elemen-elemen negatif, aku buang jauh dari mata dan hati. Kalau ditakdirkan aku mati, inilah syahidku. Kalaulah aku masih dikurniakan kesempatan untuk bernafas, perjuangan ini akan aku teruskan.
Allah knows best.